Sabah catat peningkatan Gred Purata Negeri SPM 2024 kepada 5.00 mata
17:04 Apr 24, 2025  |  By SabahKini2
Sabah catat peningkatan Gred Purata Negeri SPM 2024 kepada 5.00 mata

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, trend peningkatan GPN bagi SPM di Sabah sangat positif dalam dalam tempoh beberapa tahun.

KOTA KINABALU: Keputusan keseluruhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi negeri Sabah mencatatkan peningkatan berdasarkan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.00 mata berbanding 5.09 mata bagi 2023.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, trend peningkatan GPN bagi SPM di Sabah sangat positif dalam dalam tempoh beberapa tahun.

Katanya, pada 2022, nilai GPN SPM di Sabah adalah 5.22 mata dan pada 2023 nilai GPN yang diperoleh adalah 5.09 mata.

"Ini menunjukkan bahawa kualiti anak-anak murid kita semakin meningkat.

"Saya mendapati terdapat trend peningkatan dalam pencapaian SPM anak-anak murid kita, sama ada dalam bentuk Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) mahupun calon yang layak mendapat sijil," katanya kepada media selepas majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, Sabah turut merekodkan peningkatan sebanyak 1.24 peratus bagi jumlah calon yang layak mendapat sijil SPM.

Menurutnya, seramai 32,501 calon iaitu 94.68 peratus layak diberikan sijil SPM 2024 berbanding 32,098 calon (94.01 peratus) pada 2023.

Pada masa sama jelasnya, prestasi calon-calon SPM di luar bandar juga terus meningkat biarpun masih terdapat jurang perbezaan antara calon di bandar dan luar bandar.

"Tetapi kita gembira kerana terdapat pola peningkatan prestasi bagi kedua-dua kawasan itu. Bandar pun meningkat, luar bandar juga meningkat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah calon yang tidak hadir peperiksaan SPM mencatatkan penurunan kepada 905 calon berbanding 980 calon tahun sebelumnya.

Pihaknya turut mengenal pasti punca ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan selalunya berkaitan dengan masalah keluarga murid itu sendiri.

Katanya, ada dalam kalangan murid yang terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan dan ada juga yang sudah mendirikan rumahtangga.

"Tetapi dengan usaha bersungguh-sungguh kita untuk menziarahi anak-anak murid ini, akhirnya kita dapat mengurangkan jumlah berkenaan.

"Tahun lepas, apa yang kita buat ialah walaupun kita mengetahui calon itu sudah bekerja, tetapi sekolah mengambil inisiatif untuk menghantar soalan-soalan peperiksaan penggal kepada anak-anak murid berkenaan.

"Akhirnya ada dalam kalangan mereka hadir ke dewan peperiksaan setelah kita memberikan penambahpujukan tentang pentingnya menduduki peperiksaan SPM," jelasnya.

Comment