LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 61 tan isirung sawit (kernel) tanpa permit dalam satu serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 3.10 pagi itu, dua lelaki berusia 39 dan 48 tahun yang ditemukan di kawasan berkenaan turut ditahan.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata serbuan dilakukan oleh pasukan Task Force bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu.
Katanya, semasa serbuan dilakukan terdapat dua lelaki sedang leka memindahkan isirung sawit dari dua buah lori treler ke dalam kawasan premis menggunakan dua unit jentolak.
“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan operasi menemukan longgokan isirung sawit, sebuah bunker berisi isirung, serta satu unit timbangan lengkap di kawasan berkenaan.
“Pegawai MPOB menganggarkan jumlah keseluruhan isirung sawit yang dirampas adalah sebanyak 61 tan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada MPOB untuk pemindahan dan penyimpanan bahan komoditi berkenaan.
“Semua suspek dan barang rampasan termasuk isirung sawit, dua buah lori dan dua jentolak yang dianggarkan bernilai RM2,001,500 di bawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PPLMSM) 2005 kerana menyimpan isirung kelapa sawit tanpa lesen yang sah,” katanya.