Cubaan seludup keluar kayu gagal, dua lelaki ditahan
18:05 May 15, 2025  |  By SabahKini2
Cubaan seludup keluar kayu gagal, dua lelaki ditahan

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dipercayai cuba menyeludup keluar kayu seraya bergergaji pelbagai ukuran di laut Tobo-Tobo, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira kira jam 1.30 pagi itu, pasukan PPM berjaya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sarat dengan muatan kayu.  

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh lelaki tempatan berusia 41 dan seorang warga asing berusia 42 tahun.

“Pasukan Serbuan PPM Semporna mengesan sebuah bot laju berwarna hijau yang sedang menunda beberapa kayu begergaji.

“Hasil pemeriksaan mendapati kayu bergergaji pelbagai ukuran, jenis kayu Seraya dipercayai dicuri dari hutan simpan Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, semua kayu dan bot termasuk enjin 40 kuasa kuda yang dirampas dianggarkan bernilai RM30,350.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Enakmen Perhutanan 1968 dan Seksyen 6(1)(c) 1959/63 Akta Imigresen.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, PPM berjaya merampas 663 kilogram minyak masak bersubsidi dalam operasi di Laut Kampung Panji, di sini.

Semua minyak masak itu dikesan ditinggalkan di dalam sebuah bot laju yang diikat pada jeti di kampung berkenaan.

Nazri berkata, semua barang kawalan tersebut dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan dua enjin berkuasa kuda 40 serta 85 kuasa itu dianggarkan bernilai RM62,014.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit yang sah,” katanya.

Comment