TENOM: Sabah Electricity komited untuk meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi melalui usaha daripada semua pihak.
Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan khususnya Sabah Electricity mempunyai rancangan untuk meningkatkan kapasiti SJHTP daripada 66MW kepada 427MW, hasil persetujuan prinsip daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
“Usaha penaiktarafan ini adalah satu langkah strategik yang penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik bukan sahaja di Sabah malah turut merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia juga selaras dengan komitmen kami di Sabah Electricity untuk memperkukuh penggunaan tenaga hijau yang mampan serta memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya tahan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pengoperasian Semula dan Sambutan Ulang Tahun ke-40 Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi di sini.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau juga menegaskan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Sabah Electricity dalam mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga berasaskan bahan api fosil.
Pada masa sama katanya, ia turut memberi penekanan kepada peluasan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, solar dan biojisim sebagai langkah ke arah pembangunan tenaga yang lebih mampan serta mesra alam.
Sementara itu, Madius juga menegaskan bahawa Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi bukanlah penyebab utama punca banjir yang berlaku di kawasan Tenom, Beaufort dan sekitarnya sepertimana yang didakwa sebelum ini.
“Untuk makluman semua, Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi beroperasi berbeza daripada stesen hidroelektrik konvensional yang menggunakan empangan untuk menakung air.
“Stesen ini mengaplikasikan konsep Run-of-River Scheme, iaitu penjanaan tenaga elektrik melalui aliran semula jadi sungai tanpa melibatkan takungan besar atau empangan.
“Operasinya dilaksanakan dengan mengalihkan aliran air sungai melalui terowong khas yang membawa air secara terus ke turbin hidro di stesen janakuasa bagi tujuan penjanaan elektrik,” katanya.
Tambahnya, selepas melalui proses penjanaan, air berkenaan dilepaskan semula ke sungai dalam jumlah yang sama seperti ketika ia dialirkan, sekali gus memastikan tiada perubahan signifikan pada paras air sungai.
“Di samping itu, walaupun struktur Diversion Water Gate (DWG) yang dibina di stesen ini kelihatan menyerupai sebuah empangan, sebenarnya ia adalah sistem pagar kawalan aliran air sungai.
“Fungsi utama DWG adalah untuk mengalihkan laluan air bagi penjanaan tenaga elektrik. Sekiranya paras air sungai meningkat secara mendadak dan aliran sungai berlebihan, pihak Sabah Electricity akan membuka DWG ini bagi melepaskan lebihan air secara semula jadi ke sungai, sekali gus mengelakkan risiko limpahan dan memastikan keseimbangan ekosistem sungai terpelihara,” katanya.
Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenom Pangi mula dibina pada 1978 dan disiapkan sepenuhnya pada 1984 setelah pemasangan turbin terakhir berjaya disempurnakan.
Terletak merentasi Sungai Padas, stesen janakuasa ini memulakan operasinya pada tahun yang sama, menandakan permulaan penjanaan tenaga elektrik secara komersial menggunakan tiga turbin dengan keupayaan 22MW setiap turbin dan membekalkan sehingga 66MW.
Stesen ini mengalami kerosakan besar pada struktur sivil dan loji penjanaannya akibat kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur pada Oktober 2022 mengakibatkan ketiga-tiga turbin utama mengalami kerosakan serius dan tidak dapat berfungsi, sekali gus menjejaskan penjanaan tenaga elektrik di stesen ini.
Kerja baik pulih digerakkan oleh Sabah Electricity dijalankan tanpa henti melalui proses berperingkat dan berjaya dipulihkan sepenuhnya sebelum kembali beroperasi pada April 2025, sekali gus menyumbang semula kepada kestabilan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan.