SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya melaksanakan program pemindahan tahanan Pendatang Tanpa Izin (PTI) melibatkan seramai 769 warganegara Filipina yang dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan pada Khamis.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, proses pemindahan itu melibatkan tahanan dari tiga buah Depot Imigresen iaitu Depot Imigresen Papar, Depot Imigresen Sandakan, dan Depot Imigresen Tawau, menggunakan kapal MV ANTONIA 1 menuju ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
“Daripada jumlah ini, 438 orang adalah lelaki, 140 wanita, 98 orang kanak-kanak lelaki, dan 93 orang kanak-kanak perempuan berusia antara tiga bulan hingga 73 tahun.
“Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam program ini diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 4,762 warganegara Filipina berjaya dihantar pulang melalui program pemindahan tahanan asing ke negara asal.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan PTI yang dipindahkan dari Sabah mencecah 5,620 orang.
“Tahanan yang dihantar pulang sudah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan memiliki Travel Documents (TD) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ini,” katanya.
Beliau berkata, program pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah dalam usaha mengurangkan tempoh penahanan yang panjang di depot-depot imigresen seluruh negeri.
“Operasi ini dijalankan secara berkala bagi memastikan kesesakan di pusat tahanan dapat diminimumkan serta mempercepatkan proses penghantaran balik PTI ke negara asal.
“JIM menegaskan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kelancaran pengurusan PTI di Sabah,” katanya.