PPM gagalkan cubaan seludup 3,925 liter minyak petrol ke negara jiran
15:05 May 19, 2025  |  By SabahKini2
PPM gagalkan cubaan seludup 3,925 liter minyak petrol ke negara jiran

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, rampasan pertama membabitkan penahanan sebuah bot laju, kira-kira jam 9 malam.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 3,925 liter minyak petrol disyaki cuba diseludup ke negara jiran dalam dua kes berasingan di perairan Pulau Mataking, di sini, Sabtu lepas.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, rampasan pertama membabitkan penahanan sebuah bot laju, kira-kira jam 9 malam.

Katanya, anggota PPM yang menjalankan tugas rondaan mengesan pergerakan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot laju berkenaan menemukan sebanyak 49 jerikin minyak petrol berisi penuh disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

“Juragan warga Filipina berusia 37 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan barang bersubsidi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, rampasan kedua juga turut membabitkan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan sebanyak 108 tong jerikin 25 liter yang dipenuhi minyak petrol, kira-kira jam 9.30 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat seorang lelaki warga Filipina berusia 23 tahun yang merupakan juragan bot berkenaan.

“Suspek terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan pemilikan barang bersubsidi berkenaan dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek terbabit bersama barang rampasan minyak petrol dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan termasuk dua buah bot, enjin serta minyak petrol berkenaan dianggarkan berjumlah RM128,650.20 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.

Comment