SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warga China ditemukan lemas ketika menjalankan aktiviti menyelam di perairan Pulau Sipadan, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa dikatakan menyelam tanpa jurulatih selepas terpisah dari kumpulan juruselam lain.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, mangsa adalah salah seorang penyelam dan menyertai lapan penyelam lain untuk aktiviti menyelam di kawasan berkenaan.
Katanya, seorang jurulatih penyelam yang menyedari kehilangan mangsa kemudian menjalankan pencarian sebelum menemukan mangsa tidak sedarkan diri di dasar laut pada kedalaman 25 meter.
“Mangsa dibawa ke atas bot dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) namun masih tidak sedarkan diri.
“Mangsa hanya sempat memberi respon dengan menarik nafas panjang serta muntah, namun kekal dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa terus dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan kecemasan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Tawau. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Mohd Sabri berkata, pelancong terbabit datang ke Pulau Sipadan bersama isterinya dan ketika kejadian berlaku, isteri mangsa sudah berada di atas bot.
“Susulan kejadian, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah klasifikasi kematian mengejut (SDR) dan bedah siasat dijalankan semalam di Hospital Tawau bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohammadi Ali Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.