SPRM tahan lima lelaki disyaki terima suapan hampir RM300,000 di Sandakan
22:05 May 21, 2025  |  By SabahKini2
SPRM tahan lima lelaki disyaki terima suapan hampir RM300,000 di Sandakan

Wang rasuah itu disyaki adalah sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lelaki termasuk bekas pegawai institusi kewangan kerana disyaki menerima suapan hampir RM300,000 daripada pemilik sebuah syarikat.

Wang rasuah itu disyaki adalah sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Menurut sumber, semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sandakan di sini, antara jam 2 hingga 7 malam ini.

"Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti rasuah itu sejak 2022 hingga 2024. Ia membabitkan kelulusan pinjaman bernilai keseluruhan RM11.2 juta kepada 39 pemohon," kata sumber itu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.

"Penahanan ini adalah hasil kerjasama antara SPRM Sabah dengan unit audit dalaman salah sebuah Institusi kewangan tempatan.

"Permohonan reman terhadap semua suspek juga akan dibuat di Mahkamah Sesyen Sandakan esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Comment