KOTA KINABALU: Seramai 305 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PTI yang dihantar pulang itu adalah tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar, melibatkan individu berusia antara sebulan hingga 82 tahun.
Katanya, pemindahan itu melibatkan dua buah feri iaitu Francis Express dan Purnama Express ke destinasi asal mereka di Nunukan, Indonesia.
“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.
“Daripada jumlah itu, seramai 196 adalah lelaki dewasa, 53 wanita dewasa, 27 kanak-kanak lelaki dan 29 kanak-kanak perempuan.
“Kesemua mereka sebelum ini menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurutnya, semua tahanan yang dihantar pulang akan disenarai hitamkan dalam sistem JIM mengikut kesalahan yang dilakukan, sekali gus menghalang mereka daripada kembali memasuki negara ini secara sah.
“Sehingga Mei 2025, seramai 1,046 tahanan PTI warga Indonesia dihantar pulang melalui pengangkutan laut, menjadikan jumlah keseluruhan warga asing yang dipindahkan ke negara asal mencecah 5,916 orang.
“Pelaksanaan program pemindahan ini turut bergantung kepada pengeluaran berterusan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia.
“Ia juga sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sabah bagi memastikan tiada tahanan ditahan melebihi tempoh sewajarnya di depot-depot Imigresen,” katanya.
Menurutnya, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
“Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
“Majikan dan masyarakat juga diingatkan agar mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan mematuhi undang-undang imigresen negara.
“JIM Sabah, akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras keberadaan PTI di negeri ini,” katanya.