KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lagi individu yang juga bekas pegawai bank bagi membantu siasatan berhubung kes pinjaman pembiayaan berjumlah kira-kira RM11.3 juta.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki ini ditahan susulan siasatan yang dijalankan terhadap tangkapan lima individu pertama sebelum ini.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Mei dan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret 1, Siti Aisyah Umar Baki di Mahkamah Sesyen Sandakan pada Jumaat,” katanya.
Terdahulu, lima individu termasuk empat bekas pegawai bank ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Suapan itu sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan menggunakan dokumen sokongan palsu.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Mei selepas dikeluarkan Majistret 1 Siti Aisyah Umar Baki hasil permohonan dikemukakan oleh SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan pagi Khamis.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara jam 2 petang hingga 7 malam Rabu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar 2022 hingga 2024 membabitkan kelulusan pinjaman pembiayaan berjumlah kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.
“Mereka juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.