10 jenis barangan dimasukkan dalam SHMMP Pesta Kaamatan 2025
17:05 May 23, 2025  |  By SabahKini2
10 jenis barangan dimasukkan dalam SHMMP Pesta Kaamatan 2025

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah menambahkan dua lagi jenis barangan untuk dimasukkan dalam skim berkenaan berbanding hanya lapan barangan semasa pelaksanaannya pada tahun lepas.

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 jenis barangan akan dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah menambahkan dua lagi jenis barangan untuk dimasukkan dalam skim berkenaan berbanding hanya lapan barangan semasa pelaksanaannya pada tahun lepas.

"Dua barangan itu ialah bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.

"Manakala, untuk SHMMP Hari Gawai 2025, sebanyak 11 jenis barangan telah disenaraikan berbanding hanya lapan barangan semasa pelaksanaannya pada tahun lepas.

"Tiga barangan yang ditambah itu ialah kelapa biji, kelapa parut dan santan," katanya dalam sidang media Pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025, di sini hari ini.

Beliau berkata, SHMMP Pesta Kaamatan akan dilaksanakan pada 27 Mei 2025 sehingga 2 Jun 2025. Manakala, SHMMPHari Gawai 2025 akan dilaksanakan pada 29 Mei 2025 sehingga 4 Jun 2025.

Katanya, tempoh pelaksanaan skim berkenaan adalah selama tujuh hari iaitu pada hari kemuncak dan tiga hari sebelum serta selepas kemuncak perayaan.

"Tempoh pelaksanaan skim ini adalah ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu, pengguna dan komuniti peniaga.

"Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama," katanya.

Menurutnya, antara barangan harga kawalan SHMMP Pesta Kaamatan 2025 adalah babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India) (tidak termasuk bahagian batang pinang), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.

Untuk SHMMP Hari Gawai 2025 katanya, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.

Beliau mengingatkan semua pihak dapat mematuhi harga-harga maksimum yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harga.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Comment