Saya Tidak Terlibat Dengan Pengkhianat "Geng 7"- Jumat
21:04 Apr 12, 2018  |  By SabahKini2
Saya Tidak Terlibat Dengan Pengkhianat

Jumat bagaimanapun enggan mengesah atau menafikan beliau akan meninggalkan Umno untuk menjadi calon bebas atau menyertai parti lain.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang digantung Umno menafikan penglibatannya dengan tindakan 7 ahli jawatankuasa bahagian itu yang menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), semalam.

Beliau mengkritik ahli Umno yang mendakwanya mendalangi tindakan keluar parti itu dan berkata, beliau bosan dengan tindakan mereka yang melawannya secara terbuka dalam parti.

“Mereka memburukkan saya demi kepentingan politik dan mempromosikan diri mereka untuk jawatan dalam parti,” katanya.

Jumat bagaimanapun enggan mengesah atau menafikan beliau akan meninggalkan Umno untuk menjadi calon bebas atau menyertai parti lain.

Timbul spekulasi mengenai masa depan politik Jumat pada 2015 selepas beliau digantung Umno selama 3 tahun kerana mengkritik Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menerusi Facebook.

Hari ini, beliau berkata, 7 ahli jawatankuasa Umno Sepanggar yang meninggalkan parti itu dan menyertai Warisan melakukannya dengan rela hati.

“Namun, ada orang dalam parti yang mendakwa saya merancang tindakan itu,” katanya.

Tujuh lelaki itu yang diketuai Azhar Matussin mendakwa mereka tidak berpuas hati dengan cara Umno melayan Jumat di Dewan Rakyat sebelum dibubarkan minggu lalu.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga dilaporkan akan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar.

“Mereka bertujuh membuat keputusan melepaskan jawatan dalam parti atas kerelaan sendiri dan ia adalah hak mereka berbuat demikian. Saya bosan dengan penipuan yang dilemparkan kepada saya.

“Jika anda ikhlas berkhidmat untuk rakyat Sepanggar, lakukan dengan senyap. Tidak perlu melibatkan saya.

“Jangan cakap buruk tentang saya dan fikir anda berbuat baik untuk parti.”

Katanya, beliau melawat pengundinya untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka sejak 5 tahun lalu.

Rahman pertahankan Jumat

Rahman menyifatkan 7 bekas ahli jawatankuasa Umno Sepanggar itu sebagai pemimpin mementingkan diri kerana mereka berbuat demikian untuk peluang menjadi calon atau diberikan tawaran lain.

“Pemimpin seperti ini hanya memikirkan diri dan tidak dialu-alukan dalam Umno,” kata Rahman yang juga setiausaha BN Sabah.

Beliau lega Jumat bukan antara mereka yang menghadiri program Warisan di Kg Likas, semalam.

“Saya harap Jumat akan terus bersama kami,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menolak khabar angin mendakwa Jumat membuat tuntutan sebagai balasan atas kesetiaannya kepada Umno.

“Beliau adalah pemimpin berkaliber dan berintegriti. Datuk Jumat tidak akan turun ke tahap itu.

“Untuk bersikap adil kepada Datuk Jumat, saya tidak mahu adanya spekulasi mengatakan beliau menuntut itu ini, tidak,” katanya.

Jumat enggan mengulas khabar angin itu kerana ia tidak berbaloi dijawabnya.

Jumat mengetuai Umno Bahagian Sepanggar sejak 2008. Beliau memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 9,442 undi pada pilihan raya umum 2013, mengalahkan calon DAP, Jeffrey Kumin yang memperoleh 13,403 undi.

Calon lain yang mencabar Jumat ialah Chong Hon Kiong dari Parti Progresif Sabah (SAPP) yang mendapat 4,070 undi dan Daniel John Jambun dari STAR yang meraih 1,931 undi.

Kerusi Sepanggar mempunyai kira-kira 62,000 pengundi, di mana kira-kira 51% adalah Bumiputera Islam, 26% Cina dan 21% Bumiputera bukan Islam.

Sumber Asal: FMT

1 Comment