LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di Kampung Pisang, Jalan Bakawali, di sini, semalam.
Suspek warga asing berusia 30 tahun diberkas kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerusi Ops Tapis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada rampasan dadah disyaki jenis ketamin dan pil ekstasi bernilai hampir RM18,000.
“Antara yang dirampas ialah 13.12 gram ketamin bernilai RM2,624 dan 89.63 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM14,900.
“Turut dirampas, wang tunai berjumlah RM537 serta satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek adalah warga asing dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.