KUALA LUMPUR: Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Selasa menggantung Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra daripada menjalankan tugas sementara menunggu keputusan kes mahkamah yang mencabar tugasnya sebagai pemimpin negara itu.
Mahkamah dalam satu kenyataan berkata, ia telah menerima petisyen daripada 36 senator yang menuduh Paetongtarn tidak jujur dan melanggar sensitiviti etnik selepas perbualan telefon dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen tersebar.
Sehubungan itu, tekanan agar Paetongtarn meletak jawatan semakin memuncak selepas rakaman panggilan telefon beliau dengan Hun Sen bocor dan menyebabkan kemarahan rakyat dan turut mendorong satu daripada rakan utama dalam gabungan pemerintah menarik diri.
Kerajaan gabungan yang diterajui parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn di ambang kejatuhan, sekali gus menyebabkan negara itu terhimpit dalam satu lagi episod ketidakstabilan politik ketika Negara Gajah Putih itu berusaha memulihkan ekonomi serta mengelak daripada tarif perdagangan Presiden Donald Trump.
Parti konservatif Bhumjaithai, rakan gabungan terbesar Pheu Thai, mengumumkan pengunduran dari Paetongtarn atas alasan menjaga kedaulatan, kepentingan rakyat dan wilayah Thailand.