"Geng 7" Tidak Aktif Dan Buat Tuduhan Tidak Berasas- UMNO Sepanggar
15:04 Apr 13, 2018  |  By SabahKini2

Ini bererti tindakan mereka meletakkan jawatan pada 7 April lalu hanyalah gimik politik untuk mengambil kesempatan memposisikan diri dalam keriuhan suasana politik semasa.

KOTA KINABALU, 13 April: Tindakan 7 orang bekas AJK UMNO Bahagian Sepanggar yang mengumumkan bahawa mereka memutuskan untuk meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Warisan Sabah beberapa hari yang lalu itu hanyalah sekadar sebuah gimik politik murahan sahaja.

Setiausaha UMNO Bahagian Sepanggar, Md Joh Haji Wid hari ini memberitahu bahawa sehingga kini pejabat UMNO Bahagian Sepanggar belum menerima sebarang surat perletakan jawatan daripada kelompok 7 orang bekas AJK yang juga dikenali sebagai ‘Geng 7’ UMNO Sepanggar itu. "Saya hanya mengetahui perletakan jawatan mereka melalui pengumuman media yang dikeluarkan pada 7 April 2018," ujar Md Joh menerusi kenyataan medianya.

Ketika isu perletakan jawatan tersebut masih hangat diperkatakan di media sosial, pada Rabu, 11 April 2018 mereka sekali lagi telah membuat kejutan dengan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Parti Warisan Sabah (WARISAN). Pengisytiharan dibuat dalam satu acara di Kampung Likas.

Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Sepanggar itu lagi, salah seorang daripada mereka itu yang bernama Din bin Merin sebenarnya telah pun dipecat keahliannya pada 19 May 2017, selaras dengan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 20.8 dan 20.9 (Tataetika Ahli UMNO).

"Berkenaan 5 orang lagi iaitu; Azhar Matussin, Ladis Idris, Zaidi Atoh, Jamrin Wahid dan Sahar Hj Mentamin, mereka telah tidak berfungsi sebagai AJK UMNO Sepanggar sejak Datuk Jumat Idris digantung keahlian pada 2015. Mereka cuma hadir separuh jalan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar tahun 2015. Manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada tahun 2016 dan 2017, mereka tidak hadir sama sekali," ujar Md Joh lagi.

"Mereka juga turut tidak hadir sebarang mesyuarat biasa AJK Bahagian dan pelbagai aktiviti parti. Kecuali Marino Ahmad yang cuma mula tidak aktif sebagai AJK sejak penghujung tahun 2016.

"Ini bererti tindakan mereka meletakkan jawatan pada 7 April lalu hanyalah gimik politik untuk mengambil kesempatan memposisikan diri dalam keriuhan suasana politik semasa. Begitu juga dengan tindakan menghadiri majlis parti Warisan sekaligus mengumumkan menyertai parti tersebut malam kelmarin," tambahnya lagi.

Justeru, jelas kelihatan di situ bahawa isu membawa calon luar, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Datuk Hj Dahlan ke Sepanggar tidak timbul kerana hakikatnya mereka telah lama meminggirkan tanggungjawab sebagai AJK UMNO Bahagian Sepanggar, lama sebelum isu ini timbul.

Md Joh menyatakan bahawa jawatan AJK Bahagian yang mereka pernah sandang itu diperolehi daripada mandat yang diterima melalui proses undian oleh perwakilan cawangan-cawangan dalam pemilihan parti pada Mesyuarat Perwakilan Bahagian tahun 2013. Secara prinsipnya, jawatan tersebut adalah amanah yang diberikan ahli parti yang telah memberi kepercayaan terhadap mereka. Moralnya mereka telah mengkhianati kepercayaan tersebut.

Ahli politik yang bersikap curang seperti ini tidak mungkin mendapat kepercayaan daripada rakyat sekali pun mereka telah mendapat tempat di kem pihak lawan. "Jika mereka mampu mengkhianati kepercayaan ahli parti yang telah memberi mereka segalanya, sudah tentu mereka akan berbuat demikian pada parti baru yang belum pasti memberikan apa-apa," kata Md Joh.

- Sabahkini2

Comment