Pakatan Harapan bersetuju Warisan menjual kedaulatan negara kepada United Kingdom?- MySabah
08:04 Apr 14, 2018  |  By SabahKini2
Pakatan Harapan bersetuju Warisan menjual kedaulatan negara kepada United Kingdom?- MySabah

Saya agak terkejut kerana badan biro perundangan tersebut telah menyalahtafsirkan cara pelaksanaan MA63’, kata Tengku Fuad Ahmad yang merupakan Penasihat Undang-Undang kepada MySabah.

Kenyataan terbaru oleh Biro Undang-undang Parti Warisan yang mengkritik Datuk Seri Anifah Aman dan ikrar Barisan Nasional untuk merealisasikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 ('MA63') adalah bersifat retorik politik semata-mata dan tidak berasaskan undang-undang.

'Saya agak terkejut kerana badan biro perundangan tersebut telah menyalahtafsirkan cara pelaksanaan MA63’, kata Tengku Fuad Ahmad yang merupakan Penasihat Undang-Undang kepada MySabah.

Perlu difahamkan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 adalah bertujuan untuk mencapai konsensus dan kerjasama di antara negeri Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu agar membentuk Persekutuan yang lebih teguh.

Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 juga memperuntukkan bahawa konsensus dan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan Borneo adalah diperlukan berdasarkan Bab 3 dan Lampiran A dan B kepada, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1963.

Jelas termaktub dibawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bahawa kuasa untuk membuat undang-undang dibahagikan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan dan melaksanakan MA63, kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri perlu mempunyai persetujuan bersama untuk menyelaraskan pelaksanaan kuasa masing-masing seperti yang termaktub di dalam MA63. Dalam hal ini, kami melihat bahawa Pakatan Harapan mempunyai aspirasi dan tujuan yang sama dengan Barisan Nasional.

Pertemuan dengan Peguam Negara bagi membincangkan MA63.Jelas kesungguhan kerajaan BN.

Justeru, kenyataan dari Biro Perundangan Parti Warisan adalah tidak berasas kerana biro tersebut secara langsung atau tidak langsung memberi maksud bahawa Sabah boleh bertindak secara unilateral dalam melaksanakan MA63 jika dua-pertiga daripada DUN bersetuju. Ini kerana, Artikel 4(3) Perlembagaan Persekutuan akan membatalkan undang-undang tersebut. Di bawah Artikel 4(3) telah memperuntukkan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan mana-mana undang-undang yang telah diluluskan oleh DUN Sabah jika melebihi kuasanya di bawah Jadual Kesembilan. Secara ringkas, suatu undang-undang yang telah diluluskan oleh majoriti dua-pertiga daripada DUN akan menjadi tidak sah.

Di bawah Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 juga menjelaskan bahawa kata sepakat adalah diperlukan di antara Borneo dan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perjanjian tersebut. Oleh itu, sebuah Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan ditubuhkan bagi tujuan devolusi hak-hak ke Sabah dan Sarawak. Ini merupakan suatu langkah yang luar biasa bagi rakyat Sabah dan Sarawak kerana 22 tahun yang lalu, hak istimewa mereka ditindas dan tidak dipedulikan oleh Perdana Menteri pada masa itu.

Satu lagi isu yang telah disalahtafsirkan ialah sama ada United Kingdom masih mempunyai peranan dalam pelaksanaan MA63. Jawapannya adalah sama sekali tidak. Ini kerana, Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 tidak memerlukan penglibatan Inggeris dalam merealisasikan perjanjian tersebut. Tambahan pula, Akta Malaysia 1963 (United Kingdom) yang diluluskan oleh Parlimen United Kingdom memisahkan hubungan di antara United Kingdom, Sabah dan Sarawak untuk tujuan pembentukan Malaysia.

Dengan mengatakan bahawa Malaysia mesti tunduk kepada undang-undang United Kingdom adalah satu penghinaan terhadap kedaulatan negara Malaysia. Selanjutnya, 'ancaman' Parti Warisan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan ke London untuk proses timbangtara adalah tanpa asas undang-undang dan hanyalah omong kosong. Saya tidak pasti sama ada Pakatan Harapan yang merupakan sekutu kepada Warisan bersetuju untuk menjual kedaulatan negara ini kepada United Kingdom.

Sekiranya terdapat pertikaian di antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan, maka pertikaian ini harus diselesaikan oleh Mahkamah kita sendiri. Jika Warisan bertegas tidak mahu, adakah ini bermakna Warisan tidak mempunyai kepercayaan terhadap badan Kehakiman Persekutuan kita? Tambahan pula, ini merupakan sebuah penghinaan kepada badan kehakiman di Malaysia. Terdapat juga kebarangkalian bahawa badan kehakiman antarabangsa dan badan timbangtara akan menolak kes sebegini kerana Sabah merupakan salah satu negeri di Malaysia. Badan kehakiman antarabangsa hanya menentukan perkara-perkara di antara Negara-negara yang telah merdeka manakala Sabah bukanlah salah satu daripada negara tersebut.

Secara kesimpulannya, saya agak terkesima dengan Parti Warisan yang telah memberi tafsiran salah terhadap niat dan tujuan Perjanjian Malaysia 1963. Perjanjian ini diwujudkan untuk membawa kita bekerjasama dan mencapai konsensus. Warisan kini cuba menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 untuk memecah belah Malaysia dan ini adalah salah.

Tengku Fuad Ahmad
MySabah

Kota Kinabalu
14hb April 2018

Comment