Persatuan pesara pendidikan sokong Musa Aman
13:04 Apr 17, 2018  |  By SabahKini2
Persatuan pesara pendidikan sokong Musa Aman

Presidennya, Datuk Zulkifli Jaafar berkata pentadbiran negeri bertindak “adil dan konsisten” dalam membangunkan kawasan bandar dan luar bandar.

Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Sabah menyuarakan sokongan kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Presidennya, Datuk Zulkifli Jaafar berkata pentadbiran negeri bertindak “adil dan konsisten” dalam membangunkan kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, adalah penting untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat dan usaha itu perlu diteruskan.

“Tan Sri Musa memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan pendidikan di Sabah.

“Beliau menggalakkan penubuhan politeknik, kolej tempatan dan kolej universiti, termasuk di bawah Yayasan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan selepas beliau bersama 13 ahli persatuan itu mengunjungi Musa di kediaman rasminya di Sri Gaya, hari ini.

Katanya, inisiatif Had Pendidikan Sandakan turut menawarkan pendidikan berpatutan yang lebih mudah diakses kepada kanak-kanak luar bandar.

Beliau berkata, Musa memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan lebih mampan, dengan ekonomi Sabah beralih daripada penumpuan ke atas industri utama kepada pelbagai sektor berdasarkan pelancongan, pertanian dan pembuatan.

Zulkifli berkata, Musa turut menyumbang secara signifikan ke atas pembangunan kemudahan asas, hasil daripada hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri yang dipupuknya, khasnya dengan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, pimpinan sedia ada perlu disokong bagi memastikan pembangunan berterusan di Sabah.

Sementara itu, Musa memberitahu bekas guru yang kerajaan negeri menghargai peranan mereka dalam pembangunan pendidikan di Sabah.

Katanya, walaupun mereka sudah bersara, mereka masih boleh menyumbang melalui pengalaman berharga mereka.

“Kerajaan negeri akan sentiasa ingat sumbangan bekas guru.”

 

Comment