Kepimpinan Pairin penuh karisma masih diperlukan di Keningau
20:04 Apr 17, 2018  |  By SabahKini2
Kepimpinan Pairin penuh karisma masih diperlukan di Keningau

Pairin, 77, adalah penyandang kerusi parlimen Keningau yang dimenanginya sejak 1985, dan kerusi DUN Tambunan yang disandangnya sejak 1976, menjadikan beliau wakil rakyat Sabah paling lama berkhidmat.

KENINGAU - Karisma Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan masih diperlukan untuk mempertahankan kerusi parlimen Keningau dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pemerhati politik tempatan Kaipin Rosmin berkata sungguhpun telah menyatakan hasrat untuk bersara daripada politik, Pairin, pemimpin agung atau 'Huguan Siou' komuniti Kadazandusun Murut, masih disukai oleh sebahagian besar masyarakat Keningau.

"Pairin juga masih diperlukan untuk memimpin Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dalam kawasan pilihan raya Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (Liawan, Bingkor dan Tambunan) di dalamnya," katanya kepada Bernama.

Pairin, 77, adalah penyandang kerusi parlimen Keningau yang dimenanginya sejak 1985, dan kerusi DUN Tambunan yang disandangnya sejak 1976, menjadikan beliau wakil rakyat Sabah paling lama berkhidmat.

Beliau mengumumkan persaraannya daripada politik apabila tempoh penggal perkhidmatannya berakhir, dan awal tahun lepas, beliau menyerahkan teraju kepimpinan parti kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Bagaimanapun, kedengaran cakap-cakap bahawa Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, akan mempertahankan kedua-dua kerusi itu dalam PRU14, dan hakikatnya, beliau memberitahu sidang akhbar pada hujung tahun lepas bahawa terdapat '99 peratus kemungkinan' beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, manakala baki satu peratus lain akan menentukan sama ada beliau akan bersara atau kembali bertanding dalam pilihan raya.

Sekiranya Pairin tidak bertanding dalam PRU14, antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Keningau ialah Naib Presiden PBS Datuk Daniel Kinsik, manakala Ongkili pula membayangkan beliau mungkin bertanding di Tambunan.

"Ia mungkin sukar bagi muka baharu. Namun begitu, Keningau dan Tambunan sentiasa menjadi kubu kuat PBS dan BN," kata Kaipin.

Bagaimanapun, cabaran yang perlu diatasi BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Keningau dan kerusi DUN Tambunan serta Liawan di samping menawan semula kerusi DUN Bingkor terletak di tangan pengundi muda.

Menurut Kaipin, BN perlu bekerja keras untuk mendekati golongan muda di Keningau, yang membentuk kira-kira 40 peratus pengundi baharu.

Sungguhpun berdepan tugas berat, BN masih mempunyai kelebihan dalam kerusi Parlimen Keningau dan tiga kerusi DUN di dalamnya - Tambunan, Liawan dan Bingkor.

Dalam PRU13, Pairin memperoleh 15,818 undi dalam saingan tiga penjuru untuk memenangi kerusi Parlimen Keningau setelah mengalahkan adik lelakinya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang bertanding atas tiket Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) dan calon PKR Stephen Sandor.

Sementara itu, Fuad Dulasim dari Bingkor berkata pertembungan semula antara dua beradik itu - Pairin dan Jeffrey mungkin berlaku, manakala calon Parti Warisan Sabah, Datuk Jake Nointen yang juga bekas Ketua Pemuda PBS, sudah tentu akan memberi tentangan sengit, dan diramalkan Pairin akan sekali lagi meraih kemenangan.

Sidiq Kuntagil dari Tambunan berpendapat kedudukan Pairin sebagai 'Huguan Siou' merupakan faktor penting dalam mendapatkan sokongan rakyat kepada BN sekiranya Pairin kekal sebagai calon gagasan itu di Keningau.

Beliau berkata pencalonan Pairin bagi kerusi Parlimen Keningau dalam PRU14 bukan sahaja menghidupkan harapan kepada pengundi, tetapi juga boleh mengilhamkan kejayaan bagi kesemua kerusi yang diperuntukkan kepada PBS di seluruh negeri.

Dalam pilihan raya umum lepas, PBS, parti komponen kedua terbesar dalam BN Sabah, menang empat daripada lima kerusi parlimen dan tujuh daripada 13 kerusi DUN.

-- BERNAMA

2 Comments