Tiga Parti KDM: PBS,UPKO dan PBRS Bersatu Hadapi Pembangkang PRU-14
09:04 Apr 18, 2018  |  By SabahKini2
Tiga Parti KDM: PBS,UPKO dan PBRS Bersatu Hadapi Pembangkang PRU-14

Kerjasama 3 parti KDM dilihat menjadi satu platform penting ke arah mengekalkan kemenangan tiga parti gergasi berkenaan di PRU-14.

KOTA KINABALU: Tiga parti gergasi Kadazandusun Murut (KDM) di sabah menjalin kerjasama erat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kerjasama melibatkan Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu dilihat menjadi satu platform penting ke arah mengekalkan kemenangan tiga parti gergasi berkenaan di PRU-14.

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerjasama yang pertama kali dibuat antara tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan diteruskan di masa akan datang dan beliau percaya kerjasama itu bakal menjadi penghubung penyatuan tiga parti berkenaan dalam satu parti sahaja di masa akan datang.

“Ini adalah pertama kali dibuat, kami akan memastikan bahawa terdapat kerjasama yang mantap dalam barisan nasional untuk pilihan raya akan datang, kita akan maklumkan kepada ketua ketua bahagian bahawa tiga parti ini akan memberikan kerjasama yang maksimum semasa pilihan raya.”

“Mana yang akan ditandingi PBS, kedua parti termasuk parti lain dalam komponen BN akan beri kerjasama, di mana yang akan ditandingi oleh UPKO, dun atau parlimen PBS dan PBRS akan beri kerjasama dan di mana yang ditandingi oleh PBRS di dun atau parlimen dua parti ini serta parti dalam komponen BN akan beri kerjasama penuh,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Pasific Sutera Harbour, selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Presiden PBS, UPKO dan PBRS, hari ini.

Turut hadir Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau, serta ahli-ahli PBS, PBRS dan UPKO.

Sementara itu, presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup menyatakan, kerjasama yang lebih efektif seumpama itu penting bagi membolehkan BN memenangi majoriti yang lebih besar dalam PRU akan datang.

Joseph berkata, sengketa lama ketiga-tiga parti berkenaan juga telah lama dilupakan dan ketiga-tiga parti berkenaan juga berazam untuk terus memperkukuhkan jalinan kerjasama untuk berbakti kepada rakyat.

“Kalau mungkin ada apa apa perselisihan yang sudah sudah itu, ia telah berlalu dan kami telah melangkah ke hadapan dengan azam baru dan sebab itu kita betul-betul buat habis habisan pada kali ini, bersatu padu untuk memenangi pilihan raya,”katanya.

Sumber asal: SayangSabah

2 Comments