PKR Tanding 15 Kerusi Di Sabah, Naib Presiden PKR Bolot Kerusi Parlimen dan Dun
02:04 Apr 19, 2018  |  By SabahKini2
PKR Tanding 15 Kerusi Di Sabah, Naib Presiden PKR Bolot  Kerusi Parlimen dan Dun

Apakah wujud konflik baru berhubung pengagihan kerusi? Naib Presiden PKR bolot dua kerusi. Apakah Warisan Bahagian akan protes?

KOTA KINABALU: PKR Sabah mengesahkan mereka akan bertanding 6 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN pada 9 Mei nanti.

Pengerusi Christina Liew berkata senarai penuh calon dijangka diumumkan dalam 1 atau 2 hari.

“Masih terdapat beberapa kerusi sedang dirunding dengan Parti Warisan Sabah (Warisan). Kami jangka untuk selesaikannya tidak lama lagi. Jika terdapat perubahan, ia adalah penambahan bagi jumlah kerusi PKR, bukan pengurangan.

“Calon-calon akan diumumkan sebelum pelancaran manifesto ke-3 Pakatan Harapan (PH) Sabah di Sandakan pada 21 April oleh Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Liew, lebih separuh daripada 15 calon itu muka baru, dan terdapat 3 calon pemuda dan 3 calon wanita.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah. Bagaimanapun, perbincangan mengenai pembentukan satu pakatan pilihan raya bersama Warisan hanya melibatkan PKR dan DAP.

Kerusi DUN yang diberikan kepada PKR adalah Api-Api, Kuala Penyu, Matunggong, Moyog, Tempasuk, Inanam, Kadamaian, Tamparuli dan Karanaan.

Bagi kerusi Parlimen pula, PKR akan bertanding di Ranau, Pensiangan, Tuaran, Tawau, Putatan dan Beaufort.

PKR meletakkan calon di 43 kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas, dan menang di Api-Api, Matunggong, Moyog, Inanam dan Tamparuli, Klias dan Kadamaian.

Bagaimanapun, pembelotan menyebabkan PKR hanya memegang 2 kerusi DUN sahaja, iaitu Api-Api dan Inanam.

PKR juga kehilangan Penampang, satu-satunya kerusi Parlimen dimenangi PKR pada 2013 daripada 19 yang ditandingi, apabila Ahli Parlimen Darell Leiking turut belot menyertai Warisan, di mana beliau kini timbalan presiden.

Liew mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Api-Api sementara timbalan, Mustapha Sakmud kemungkinan besar akan bertanding di Tempasuk. Mustapha sebelum ini tewas dalam pilihanraya.

Turut menarik perhatian apabila Datuk  John Ghani Naib Presiden PKR bekas calon Bebas Dun Kuala Penyu membolot dua kerusi apabila bertanding di Parlimen Beaufort dan Dun Kuala Penyu menentang BN dan Parti Harapan Rakyat Sabah yang di ketuai Datuk Seri Lajim Ukin. Sudah ada tanda-tanda protes oleh pemimpin Warisan di kawasan itu berhubung keputusan PKR.

Sementara itu Liew berkata Pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah akan bertemu Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal tidak lama lagi untuk berbincang berkenaan pengagihan kerusi antara 2 parti itu.

“Memandangkan PH Sabah sudah bersetuju berkenaan pengagihan kerusi dalam kalangan kami, ia bergantung kepada parti masing-masing untuk berbincang bahagian mereka dengan Warisan,” katanya.

Dilaporkan, Amanah berhasrat untuk bertanding di 2 kerusi DUN dan 2 kerusi Parlimen di Sabah, tetapi Warisan difahamkan juga berminat bertanding di situ.

Parti ke-3 dalam gabungan PH Sabah, DAP, sudah mengumumkan ia akan bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN.

Parti itu akan bertanding di Parlimen Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tenom, dan di DUN Luyang, Likas, Sri Tanjong, Elopura, Tanjung Papat, Bingkor, dan Kepayan.

Comment