Rakyat Sabah bijak memilih demi kemakmuran, kesinambungan pembangunan
11:04 Apr 20, 2018  |  By SabahKini2
Rakyat Sabah bijak memilih demi kemakmuran, kesinambungan pembangunan

Beliau juga yakin rakyat Sabah akan terus memilih Barisan Nasional (BN) melihatkan keupayaan kerajaan hari ini dalam mengekalkan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sosial yang dikecapi rakyat selama ini.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman percaya rakyat Sabah akan membuat pilihan bijak dan terbaik pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) demi kemakmuran dan kesinambungan momentum pembangunan dan kemajuan negeri.

Beliau juga yakin rakyat Sabah akan terus memilih Barisan Nasional (BN) melihatkan keupayaan kerajaan hari ini dalam mengekalkan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sosial yang dikecapi rakyat selama ini.

"Berdasarkan pencapaian dan kejayaan kita dalam memacu pembangunan negeri, ia jelas membuktikan bahawa kita telah menunaikan tanggungjawab dan mandat rakyat. Kita bekerja dan turun padang ke seluruh negeri sejak pembentukan kerajaan selepas pilihan raya lalu," katanya kepada Bernama.

Katanya BN bukan parti dan pemimpin bermusim yang hanya bekerja atau turun padang menemui rakyat ketika menjelang pilihan raya sahaja.

"Kita bekerja, menyantuni rakyat di seluruh negeri iaitu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya," katanya yang juga Ketua Perhubungan Umno dan Pengerusi BN Sabah.

Mengenai strategi BN Sabah dalam mendepani cabaran gabungan parti pembangkang tempatan pada PRU14 ini, Musa berkata semua pemimpin dan jentera parti sentiasa diingatkan agar tidak mengambil mudah atau cepat berasa selesa serta bersikap sambil lewa.

Sebaliknya beliau mengingatkan semua pemimpin dan jentera BN agar melipat gandakan lagi usaha dan kerja parti membantu rakyat dan memberikan penjelasan mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan yang diterajui BN selama ini.

"Dari segi strategi, sebenarnya kita tidak ada strategi tertentu kerana bagi kita selama ini, 'strategi' kita adalah turun padang dan membantu rakyat pada setiap masa dan musim, tanpa perlu menunggu pilihan raya," katanya.

Beliau berkata kerajaan yang diterajui BN selama ini ada rekod dan fakta kejayaan serta pencapaian berbanding parti pembangkang yang cuma pandai menaburkan janji bersifat populis dan tidak realistik kepada rakyat.

"Insya-Allah dengan adanya kerjasama daripada Umno dan parti komponen BN, kita bersatu, saya percaya kita akan mengulangi kejayaan besar seperti masa lalu. Rakyat tahu kita mempunyai rekod baik, kita bekerja, kita turun padang dan mengetahui masalah rakyat."

"Jadi kita tidak alpa kerana kita tahu apa yang harus dilakukan untuk membangunkan negeri kita dan kawasan masing-masing (oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN)," katanya.

Musa berkata sudah menjadi tradisi beliau mengingatkan semua ADUN BN yang dipilih agar terus turun padang meninjau masalah rakyat dan menyelesaikannya dengan segera tanpa berlengah.

"Bagi saya, orang Sabah semuanya bijak. Mereka pandai menilai mana baik dan mana buruk. Oleh itu, jangan tersilap, jangan tersalah langkah, jangan tersilap pilih kerana ini boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Sejak beliau menerajui Sabah, BN negeri mencatat kejayaan luar biasa pada pilihan raya umum 2008 dengan menguasai 24 daripada 25 kerusi Parlimen dan 59 daripada 60 kerusi negeri serta mengulangi kejayaan itu pada pilihan raya umum 2013 dengan memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi negeri yang dipertandingkan.

Comment