Penduduk Pensiangan Mahu Terus Bersama BN
21:04 Apr 20, 2018  |  By SabahKini2
Penduduk Pensiangan Mahu Terus Bersama BN

Kerajaan telah menyediakan kemudahan tempat tinggal selesa untuk keluarganya selain dilengkapi kemudahan asas lain seperti air, elektrik dan jalan raya ..

NABAWAN, 20 April - Penduduk di Parlimen Pensiangan, Sabah, mahu kestabilan politik dikecapi ketika ini dikekalkan serta dipelihara bagi membolehkan kesinambungan agenda pembangunan luar bandar diteruskan pada masa akan datang.

Sehubungan itu, rata-rata penduduk yang ditemui Bernama berpendapat usaha dan tumpuan pembangunan tersebut perlu diteruskan dan diperluaskan lagi bagi membolehkan penduduk luar bandar menikmati kemudahan serta bantuan tersebut secara keseluruhannya demi keselesaan dan kesejahteraan mereka.

Seorang peserta Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kampung Labang Sapulut, Nabawan, Billy Sapitai, 39, berkata segala perhatian dan keprihatinan kerajaan membolehkan golongan miskin tegar sepertinya menikmati kehidupan lebih selesa di samping mengusahakan pertanian untuk meningkatkan sumber pendapatan.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan kemudahan tempat tinggal selesa untuk keluarganya selain dilengkapi kemudahan asas lain seperti air, elektrik dan jalan raya bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik dan produktif berbanding sebelumnya.

"Kami amat berterima kasih terhadap apa yang kerajaan berikan di sini kerana banyak perubahan dan pembangunan untuk kami menjalani hidup lebih selesa.

"Saya memang menyokong kerajaan kerana sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat seperti kami. Tengok saja macam e-Kasih dan bantuan persekolahan, kerajaan juga yang sorong (bagi bantuan)," katanya ketika ditemui di MESEJ Kampung Labang Sapulut, Nabawan, di sini, hari ini.

MESEJ adalah program diperkenalkan kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan di Sabah.

Seorang lagi peserta, Arini Tipoh, 36, berkata selain kediaman selesa, kerajaan turut menyediakan prasarana sekolah yang memudahkan anak-anak di kawasan itu mendapatkan pendidikan formal.

Bagaimanapun beliau berharap sebuah dewan mini disediakan di kawasan itu agar penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti berkumpulan serta majlis rasmi.

Seorang peniaga kecil-kecilan, Tarini Maraya, 36, berkata kesungguhan kerajaan membangunkan kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah selama ini memberi keyakinan kepadanya bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja ada kemampuan berbuat demikian.

Beliau berkata usaha membawa pembangunan fizikal dan menyediakan bantuan bagi membantu golongan sasar sentiasa ada setiap tahun meskipun ia dilakukan atau disalurkan secara berperingkat.

"Kerajaan banyak memberi bantuan kepada masyarakat luar bandar dan sentiasa mendengar permasalahan rakyat. Bagi saya, lebih bagus BN yang (terus) memerintah kerana kita masih banyak memerlukan pembangunan dan memajukan rakyat di luar bandar," katanya.

Pada pilihan raya lepas, calon BN Tan Sri Joseph Kurup mendapat 9,467 undi, sekali gus memenangi kerusi Parlimen Pensiangan dengan majoriti 1,744 undi manakala calon Parti Keadilan Rakyat Dr Richard Gunting memperolehi 7,723 undi dan Martin Tommy iaitu calon Star 3,554 undi.

-- BERNAMA

1 Comment