Rakyat Sabah Tidak Sabar Menunggu ‘Satu Negara Satu Harga’
01:04 Apr 23, 2018  |  By SabahKini2
Rakyat Sabah Tidak Sabar Menunggu ‘Satu Negara Satu Harga’

penduduk setempat yang ditemui di sekitar kawasan Merotai dan Tanjung Batu menyambut baik langkah berkenaan dan berharap manifesto tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ia akan dapat memastikan harga barangan pengguna yang standard di seluruh

TAWAU - Langkah kerajaan memansuhkan label harga barang mengikut kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak - Ke Arah Satu Negara Satu Harga dalam Manifesto Barisan Nasional yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mendapat reaksi positif dan menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kebajikan rakyat di Sabah dan Sarawak sentiasa terbela.

Rata-rata penduduk setempat yang ditemui di sekitar kawasan Merotai dan Tanjung Batu menyambut baik langkah berkenaan dan berharap manifesto tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ia akan dapat memastikan harga barangan pengguna yang standard di seluruh negara dan seterusnya mengurangkan impak kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Bagi pesara kerajaan, Haji Solihin Abu Bakar, 59, langkah BN memperkenalkan harga barangan pengguna yang standard sudah cukup jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat di Sabah.

Katanya inisiatif tersebut akan membolehkan penduduk di Sabah menikmati harga barangan pengguna yang lebih murah seperti yang dinikmati di Semenanjung.

“Perdana Menteri amat mengambil berat dan teliti dengan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak. Beliau bukan sahaja peka dengan untung nasib kita di sini, namun beliau menawarkan jalan penyelesaian positif demi untuk rakyat. Saya amat percaya BN akan melaksanakan sepenuhnya manifesto ini sebaik menubuhkan kerajaan yang baru”.

Reaksi serupa turut dikongsi oleh seorang pemandu teksi, Haji Hatta Arifin, 51. Menurutnya sejak parlimen dibubarkan, majoriti penumpang memperkatakan mengenai PRU14. Namun apa yang menarik perhatiannya, kebanyakan mereka amat teruja dengan janji kerajaan untuk memperkenalkan harga barangan standard bagi Sabah dan Sarawak selepas Perdana Menteri mengumumkan manifesto BN.

“Kebanyakan penumpang akan bercakap mengenai kos sara hidup dan harga barang yang semakin mahal, tetapi selepas manifesto BN diumumkan, kebanyakan mereka seperti sudah tidak sabar dan mahu kerajaan melaksanakan manifesto itu segera”.

Manifesto itu juga disokong oleh Siti Fatimah Wagiman, 31, yang menyifatkan pengumuman tersebut menunjukkan keperihatinan Perdana Menteri yang sentiasa responsif terhadap keadaan semasa rakyat, khususnya di Sabah.

“Jika dibandingkan dengan harga barangan pengguna di Semenanjung, harga di sini sedikit tinggi dan agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

“Barangan keperluan asas seperti susu krimer, susu bayi dan lampin pakai buang akan menjadi lebih murah dan ini adalah berita yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat”, katanya yang pernah menetap selama tujuh tahun di Subang Jaya.

Bagi Mohd Faizul Hakim, 27, manifesto BN bagi PRU14 lebih jelas dan terperinci bagi menangani peningkatan kos sara hidup jika dibandingkan dengan manifesto pembangkang yang disifatkannya tidak tersusun, berisiko tinggi dan bersifat populis untuk meraih undi.

Katanya, “jika perbandingan terperinci dibuat di antara manifesto BN dan PH, jelas dilihat BN mengambil langkah strategik dengan mekanisma yang lebih teratur berbanding PH yang hanya berdasarkan andaian dan persepsi semata-mata”.

Tambahnya lagi, “Langkah memperkenalkan mekanisma Satu Negara Satu Harga adalah satu tindakan ke hadapan yang sangat tepat dan yakin pihak pembangkang langsung tidak terfikir untuk melaksanakan mekanisma seumpama ini”.

Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Peringkat Persekutuan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 April lalu di Bukit Jalil manakala Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan melancarkan Manifesto BN Sabah pada 22 April di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sabah.

Comment