MA63 Mahu Sama Rata, Tak Kan Amanah Tidak Dapat Kerusi Langsung- Hamzah
00:04 Apr 23, 2018  |  By SabahKini2
MA63 Mahu Sama Rata, Tak Kan Amanah Tidak Dapat Kerusi Langsung- Hamzah

Equal partner dalam MA63 ertinya sama rata. Apabila sama rata, takkanlah Amanah tidak dapat kerusi langsung, 2 kerusi pun tidak mengapa,” katanya

Berbaki Enam hari menjelang hari penamaan calon,PAN dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masih gagal mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi di Sabah.

Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah bertegas parti itu akan bertanding 2 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seperti yang diputuskan Pakatan Harapan (PH) di peringkat awal.

“Kita cuma harapkan tiada pertembungan antara PH dan Warisan, tetapi saya sudah tegaskan di sini, apa yang diputuskan PH, kita akan pertahankan,” katanya pada majlis pelancaran manifesto PH Sabah di Sandakan, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew, Pengerusi DAP negeri, Stephen Wong dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Hamzah berkata, tidak wajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperjuangkan hak kesaksamaan tidak diterjemahkan dalam aspek pembahagian kerusi.

“Equal partner dalam MA63 ertinya sama rata. Apabila sama rata, takkanlah Amanah tidak dapat kerusi langsung, 2 kerusi pun tidak mengapa,” katanya.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah. Bagaimanapun, perbincangan mengenai pembentukan pakatan pilihan raya bersama Warisan hanya melibatkan PKR dan DAP.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir sebelum ini berkata, calonnya akan menggunakan logo parti sendiri untuk bertanding di Sabah pada 9 Mei ini.

Shafie ketika berucap berkata, beliau sudah berunding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu suapay tidak bertanding di Sabah.

Beliau turut berjanji akan melantik wakil kedua-dua parti itu sebagai senator atau memberikan jawatan lain.

“Di mana PKR dan DAP bertanding, kita tidak akan bertanding, kita akan sokong DAP dan PKR. Jangan kalahkan PKR dan DAP, kita mahu tumbangkan Barisan Nasional.

“Ada kerjasama dengan PH, undi calon-calon dari PKR dan DAP, yang lain jangan undi. Saya minta kerjasama penyokong PPBM dan Amanah.

“Kita minta PPBM dan Amanah, janganlah bertanding Sabah, tolonglah. Kita (jika menang) boleh lantik sama ada jadi senator atau jawatan yang ada,” katanya.

1 Comment