Warisan Boneka Mahathir- Musa Aman
02:04 Apr 23, 2018  |  By SabahKini2
Warisan Boneka Mahathir- Musa Aman

Ironis bagi presiden Warisan bercakap memperjuangkan keperluan rakyat, sedangkan beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dalam kementeriannya dan di kawasan diwakilinya semasa menjadi menteri Kabinet persekutuan.

SANDAKAN: Dakwaan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menjadi pemain utama sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah impian tidak akan menjadi kenyataan, kerana ia hanya boneka Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata, adalah ironis bagi presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bercakap tentang memperjuangkan keperluan rakyat, sedangkan beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dalam kementeriannya dan di kawasan diwakilinya semasa menjadi menteri Kabinet persekutuan.

Katanya, jelas sifat hipokrit Shafie yang tiba-tiba mahu memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedangkan beliau tidak berbuat demikian semasa mempunyai autoriti dalam kerajaan dan berhubung rapat dengan mereka yang berkuasa seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sekarang tiba-tiba beliau mahu menyelamatkan Sabah untuk rakyat Sabah dan menyelesaikan isu MA63?

“Beliau kini bekerjasama dengan Dr Mahathir yang gagal menjaga kebajikan rakyat Sabah selama 22 tahun menjadi perdana menteri dengan tidak mengiktiraf kepentingan Hari Malaysia, apatah lagi Perjanjian Malaysia 1963,” katanya selepas melawat pusat daerah mengundi Batu Putih, pada Ahad.

Beliau berkata, semasa Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri, beliau memberi pengiktirafan kepada Hari Malaysia pada 16 September dengan mengisytiharkannya sebagai cuti umum kebangsaan.

“Malah, beliau turut meminta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani kehadiran sejumlah besar pendatang asing tanpa izin di Sabah dan bersetuju ditubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk menyelesaikan isu MA63.

“Najib turut mengisytiharkan apa juga hak (dalam MA63) yang diambil secara tidak sengaja atau sengaja akan dikembalikan. Adakah Dr Mahathir atau Muhyiddin pernah bercakap tentang perkara itu sebelum ini,” soalnya.

“Sekarang Shafie mahu memuktamadkan isu MA63 dalam tempoh singkat. Beliau hanya mempergunakan perkara itu untuk memperbodohkan rakyat dan meraih faedah politik untuk mencapai impiannya.”

Beliau berkata, Shafie tidak sepatutnya mengelirukan konsep diplomasi senyap dan membawa isu itu ke meja perundingan untuk dibincangkan menurut perintah kerajaan persekutuan dan perdana menteri.

Musa berkata, dengan menjalin hubungan rapat dengan kerajaan persekutuan memberi laluan kepadanya untuk membangkitkan isu Sabah dan pembangunan diperlukan dengan Najib, lalu membolehkan beliau memohon peruntukan besar bagi pembangunan sosio ekonomi dan projek berimpak tinggi di negeri ini.

Sumber Asal: FMT

4 Comments