Masyarakat Tiong Hua Jangan Terpedaya Hasutan Pembangkang- Anifah
11:04 Apr 24, 2018  |  By SabahKini2
Masyarakat Tiong Hua Jangan Terpedaya Hasutan Pembangkang- Anifah

Beliau turut menyifatkan tindakan pihak pembangkang yang suka memburukkan imej kerajaan bukan sahaja tindakan terdesak untuk memenangi hati masyarakat cina..

Kimanis: Ketua Bahagian UMNO Kimanis Datuk Seri Anifah Aman menyeru kepada masyarakat Tiong Hua di kawasan ini tidak terperdaya dengan hasutan pihak pembangkang yang dilihat muncul lima tahun sekali untuk mengapi-apikan pelbagai sentimen bagi meraih undi.

Beliau turut menyifatkan tindakan pihak pembangkang yang suka memburukkan imej kerajaan bukan sahaja tindakan terdesak untuk memenangi hati masyarakat cina di kawasan itu malah menunjukkan belang sebenar mereka kerana suka menyebar fitnah.

“Saya tahu waktu pilihanraya baru (pembangkang) keluar baru datang janji tapi saya tahu juga banyak janji janji yang tidak masuk akal.

“Jadi jangan apabila marah sikit, jangan marah sampai tidak undi lah…kalau marah kita bincang saya selaku menteri luar tidak boleh marah juga, kalau marah perang jadi mesti cari jalan macam mana mahu runding runding minum ini yang penting kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena perjumpaan dengan pemimpin setempat dan masyarakat cina di Dewan Serbaguna Ulu Kimanis, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir adalah penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin.

Seramai 300 masyarakat Tiong Hua di sekitar perkampungan Ulu Kimanis hadir dalam majlis santai berkenaan yang turut menyuarakan sokongan kepada Anifah sebagai calon Parlimen Kimanis dan Mohamad, calon DUN Bongawan pada PRU-14 nanti.

Anifah dan Mohamad turut berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada golongan tua yang terdiri daripada penduduk setempat dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Anifah yang juga penyandang Ahli Parlimen Kimanis tersebut menasihatkan masyarakat setempat bahawa pentingnya mengekalkan keamanan sedia ada yang hanya boleh dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang penting bahawa kita mesti hidup sebagai rakyat Malaysia tanpa kira kaum tanpa kira agama tanpa kira bangsa, mesti satu.. mesti satu..saya diluar negara kadang kadang naik kapal terbang mahu 30 jam, tapi yang penting saya punya tugas supaya negara kita aman, ekonomi kita kuat pelaburan asing datang ke negara kita.

“Kita mahukan negara kita malaysia di hormati dan minta pandangan pandangan kita supaya lain lain negara juga menjemput Malaysia untuk menyelesaikan masalah perang,” katanya.

-SayangSabah

Comment