KOTA KINABALU: Sabah sedang memperkukuh kedudukannya dalam industri minyak dan gas menerusi peranan yang lebih aktif sebagai pemilik serta peneraju sektor berkenaan, kata Timbalan Ketua Menteri II, Masidi Manjun.
Masidi berkata, menerusi SMJ Energy, kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan aktiviti huluan, mengkomersialkan penemuan sumber tenaga baharu dan memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada sumber negeri dapat dikekalkan untuk manfaat rakyat.
“Sabah bukan lagi sekadar pemerhati. Kita adalah pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri minyak dan gas negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam alu-aluan OGSE Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.
Masidi, yang juga pengerusi SMJ Energy, berkata kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur dan rakan strategik antarabangsa melalui kerjasama melibatkan perkongsian teknologi, kepakaran dan modal bagi memacu pertumbuhan industri tenaga Sabah.
Menurutnya, kerjasama strategik antara kerajaan, syarikat tenaga dan pelabur mampu mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab tenaga yang semakin berkembang di rantau ini.
Beliau turut menggesa syarikat yang terlibat dalam industri itu supaya memberi lebih banyak peluang kepada vendor tempatan, melabur dalam pembangunan bakat anak Sabah serta mewujudkan kerjasama jangka panjang dengan pemain industri tempatan.
Katanya, penglibatan lebih besar syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri minyak dan gas berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan perusahaan tempatan.
Masidi berkata penganjuran OGSE Sabah 2026 bukan sekadar platform mempamerkan peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh kestabilan kewangan, meningkatkan kebebasan komersial dan mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kukuh.
“Sektor tenaga kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dan memainkan peranan penting dalam menjana hasil serta peluang pembangunan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk terus menyokong pertumbuhan sektor tenaga bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berpanjangan oleh Sabah dan rakyatnya.
Menurutnya, usaha memperkukuh industri minyak dan gas bukan sahaja penting dari segi ekonomi, malah mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan kemakmuran negeri secara keseluruhan.

