Sabah terus perkasa TVET, STEM dan literasi AI – Hajiji
16:06 Jun 11, 2026  |  By SabahKini2
Sabah terus perkasa TVET, STEM dan literasi AI – Hajiji

Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan menerusi pemerkasaan modal insan, peluasan bantuan pendidikan serta pengukuhan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

“Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan terus diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan. Pemerkasaan TVET, pengukuhan STEM, latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi AI adalah antara bidang yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui kerjasama strategik dengan JPNS dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, bantuan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan serta intervensi bagi meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa, dermasiswa dan 14 inisiatif bantuan sedia ada.

Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

“Selain itu, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah turut menawarkan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menyifatkan peningkatan prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 sebagai petunjuk komitmen tinggi warga pendidikan negeri.

Beliau berkata Gred Purata Negeri (GPN) Sabah meningkat daripada 5.00 pada 2024 kepada 4.85 pada 2025.

“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan seluruh pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negeri Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik atas dedikasi mereka dalam membentuk generasi muda, sambil menyifatkan guru sebagai tonggak utama pembangunan negara yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk akhlak dan nilai murni pelajar.

Comment