Cubaan meloloskan diri gagal, warga asing ditahan bersama syabu
15:06 Jun 16, 2026  |  By SabahKini2
Cubaan meloloskan diri gagal, warga asing ditahan bersama syabu

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah menjalankan pemeriksaan terhadap suspek selepas menerima maklumat awam.

TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing melarikan diri daripada pemeriksaan polis gagal apabila dia berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Blok 31, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah menjalankan pemeriksaan terhadap suspek selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 23 tahun itu bertindak melarikan diri sebaik dihampiri anggota polis yang mahu menjalankan pemeriksaan.

“Semasa pemeriksaan hendak dijalankan, suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku sedikit pergelutan dengan anggota polis ketika tangkapan dilaksanakan.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, suspek didapati mencampakkan satu objek ke atas tanah bagi mengelakkan ia ditemui polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.14 gram,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang beralamat di Kampung Batu 14, Jalan Apas, Tawau kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, barang kes yang dirampas dibawa ke Balai Polis Tawau bagi tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi pencegahan jenayah bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah jalanan di daerah ini,” katanya.

Comment