PUTRAJAYA, 22 Jun – Kerajaan MADANI mengumumkan pelaksanaan mekanisme baharu BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang akan menyeragamkan harga, kaedah dan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara bermula 1 Julai 2026.
Di bawah sistem baharu itu, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan pengesahan MyKad di semua stesen minyak di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan prinsip penyasaran subsidi Kerajaan MADANI bagi memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi yang dibiayai kerajaan.
“Mulai 1 Julai 2026, harga runcit diesel seluruh negara akan ditetapkan pada paras tanpa subsidi. Sebahagian penjimatan daripada langkah tersebut digunakan untuk manfaat rakyat, termasuk dengan mengurangkan harga bersubsidi diesel kepada RM2.10 seliter untuk rakyat yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya dalam satu taklimat media hari ini.
Beliau berkata, pembaharuan itu merupakan kesinambungan kejayaan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan penggunaan MyKad diperluaskan sebagai mekanisme pengesahan kelayakan subsidi diesel. Sistem tersebut diwujudkan bagi memastikan kaedah subsidi yang lebih seragam, telus dan mudah digunakan di seluruh negara.
Menurut Kementerian Kewangan, seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dijangka menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui mekanisme baharu tersebut. Pada masa sama, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi membolehkan kira-kira 70,000 kenderaan komersial yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menggunakan fleet card syarikat minyak.
Perkembangan itu turut melegakan rakyat Sabah dan Sarawak yang sebelum ini bimbang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel akan menyebabkan mereka kehilangan manfaat subsidi sedia ada. Sebaliknya, pemilik kenderaan diesel persendirian di kedua-dua negeri tersebut bakal menikmati harga subsidi yang lebih rendah berbanding kadar RM2.15 seliter yang dinikmati sebelum ini.
Di bawah mekanisme baharu itu, setiap penerima yang layak akan diberikan had asas sehingga 200 liter sebulan, yang boleh digunakan secara fleksibel sama ada untuk pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing. Bagi pemilik pikap dan jip diesel yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Selain pemilik kenderaan persendirian, kemudahan BUDI Diesel turut diperluaskan kepada pengusaha bot sungai dan pemilik generator di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak, menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat subsidi bersasar tersebut.
Dalam masa yang sama, kerajaan menegaskan bahawa subsidi bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan, termasuk diesel bersubsidi RM1.65 seliter untuk nelayan, BUDI Agri-Komoditi bagi petani kecil dan pekebun komoditi berdaftar serta SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan serta had penggunaan bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula hari ini, manakala akses awal kepada sistem BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun sebagai persediaan sebelum pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026.

