TAWAU: Seramai 351 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7/2026, sekali gus menjadikan keseluruhan 3,990 PATI diusir dari Sabah sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program pemindahan melalui laluan laut itu membabitkan 213 warga Indonesia dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan yang dihantar pulang menerusi Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan feri.
Menurut beliau, pada masa sama, seramai 138 warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau dipindahkan melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan feri komersial.
"Keseluruhan tahanan yang dipindahkan terdiri daripada 235 lelaki dewasa, 58 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 28 kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 75 tahun.
"Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, semua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) atau dokumen perjalanan yang sah sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Menurutnya, sehingga kini seramai 2,578 warga Filipina dan 1,207 warga Indonesia telah dihantar pulang, menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir dari Sabah tahun ini mencecah 3,990 orang.
Dalam pada itu, Sh Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
Tegas beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
"Majikan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan jika disabitkan bersalah," katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi PATI, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada JIM Sabah melalui saluran rasmi bagi membantu memperkukuhkan usaha penguatkuasaan.

