KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan bakat tempatan menjadi keutamaan bagi memastikan rakyat Sabah dapat merebut peluang pekerjaan berkualiti tinggi susulan kemasukan pelaburan baharu dan perkembangan sektor ekonomi strategik.
Beliau berkata kerajaan mahu melihat lebih ramai anak Sabah muncul sebagai jurutera, teknologis, juruteknik mahir, saintis data, pakar AI dan pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global.
"Dunia pekerjaan sedang berubah dengan pantas akibat pendigitalan, automasi dan AI. Perubahan ini membuka peluang kerjaya baharu yang memerlukan kemahiran berbeza," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 di sini, Isnin.
Hajiji berkata kesatuan sekerja perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa melalui pendigitalan organisasi, peningkatan kemahiran ahli dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.
Beliau turut menggesa kerjasama lebih erat antara kesatuan sekerja, majikan, institusi latihan dan agensi kerajaan bagi memperluaskan peluang latihan semula serta peningkatan kemahiran pekerja.
Menurutnya, agenda itu selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 yang meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya laluan penting untuk memenuhi keperluan industri masa depan.
"Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju serta teknologi hijau yang memerlukan tenaga kerja kompeten," katanya.
Hajiji berkata kejayaan pembangunan negeri bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni dan mampan.
Beliau turut menggesa majikan mengamalkan budaya kerja yang adil dan berintegriti, manakala pekerja perlu terus meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dengan keperluan industri.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan mengiktiraf peranan kesatuan sekerja sebagai penghubung antara pekerja, majikan dan kerajaan, selain menyumbang kepada kestabilan hubungan perusahaan serta keyakinan pelabur.
Katanya, menerusi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS), Kerajaan MADANI memperuntukkan RM6.1 juta di seluruh negara tahun ini, termasuk RM310,000 kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.
"Gunakanlah peruntukan ini sebaik mungkin untuk meningkatkan kompetensi ahli, memperkukuh pengurusan organisasi dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada pekerja," katanya.

