Subsidi petroleum dijangka cecah hampir RM40 bilion tahun ini
17:07 Jul 01, 2026  |  By SabahKini2
Subsidi petroleum dijangka cecah hampir RM40 bilion tahun ini

Kementerian Kewangan memaklumkan, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi petrol RON95 dan diesel pada Januari serta Februari lalu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026 susulan peningkatan harga minyak dunia yang didorong ketegangan geopolitik serta konflik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan memaklumkan, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi petrol RON95 dan diesel pada Januari serta Februari lalu, sebelum jumlah itu meningkat kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April.

Katanya, peningkatan subsidi itu membolehkan warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.

"Kenaikan jumlah subsidi ini membolehkan warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas layak menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter," menurut jawapan bertulis kementerian di Dewan Rakyat.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah terkini peruntukan subsidi petrol dan diesel serta pihak lain yang turut menerima subsidi selain individu.

Kementerian berkata, manfaat subsidi turut dinikmati sektor strategik dan kritikal, termasuk nelayan yang memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter.

Selain itu, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi membantu lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia berdepan peningkatan kos operasi.

Pada masa sama, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 1.0) membolehkan pengendali pengangkutan awam, termasuk bas sekolah dan bas ekspres, membeli diesel pada harga RM1.88 seliter.

Kemudahan itu turut diperluaskan kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak, sekali gus membolehkan kenderaan komersial mendapatkan diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.

Kementerian turut memaklumkan pengusaha bot, pengguna set jana kuasa dan pam air bagi kegunaan kediaman di kawasan pedalaman layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Agensi terbabit termasuk Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Mengulas bekalan petroleum negara, kementerian berkata, situasi semasa kekal stabil dan mencukupi.

Katanya, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh langkah memastikan keterjaminan bekalan dalam jangka panjang, di samping meneruskan pelaksanaan subsidi bersasar selagi krisis bekalan global berlarutan.

"Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga global.

"Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar," katanya.

Comment