KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 21 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika cuba menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa dilaporkan hilang sebelum orang awam yang menyedari kejadian menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum anggota polis bersama pasukan penyelamat bergegas ke lokasi bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan dengan kerjasama semua agensi berkaitan serta penduduk kampung," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 petang.
Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR.
Pasukan penyelamat menjalankan penilaian awal dan mendapatkan maklumat daripada saksi bagi mengenal pasti lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum memberi tumpuan pencarian di kawasan mangsa dipercayai dihanyutkan arus.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR diteruskan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai, khususnya ketika keadaan arus deras yang boleh mengundang risiko.

