Penunggang motosikal rentung selepas nahas di Jalan Putatan
15:07 Jul 06, 2026  |  By SabahKini2
Penunggang motosikal rentung selepas nahas di Jalan Putatan

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva sebelum motosikalnya terbakar 100 peratus.

PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Putatan menghala ke Lok Kawi, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva sebelum motosikalnya terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.04 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi.

"Pasukan bomba tiba pada jam 3.10 pagi dan mendapati sebuah motosikal terbakar sepenuhnya selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta.

"Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera bagi mengawal kebakaran," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.48 pagi selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat.

"Kes kini disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya.

Comment