KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang didakwa sebagai ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai "Geng Upik" mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM821,950.
Maslan Sani didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang yang merupakan hasil aktiviti haram melalui beberapa deposit tunai ke dalam akaun bank miliknya di beberapa cawangan di Sabah antara Januari hingga Disember 2016.
Antara deposit yang didakwa diterima ialah RM284,400 di Tawau, RM175,090 di Inanam, RM139,700 di Lahad Datu dan RM129,200 melalui satu akaun berasingan.
Dia turut didakwa menerima beberapa deposit tunai di cawangan Api-Api Centre, Bundusan, Jalan Sagunting, 1Borneo Hypermall dan City Mall di Kota Kinabalu.
Jika sabit kesalahan, Maslan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram, atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul daripada Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Hasil Jenayah, Jabatan Peguam Negara, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar dan Azhier Farhan Arisin.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal menetapkan 11 Ogos 2026 untuk sebutan semula kes.
Menurut polis, siasatan yang bermula pada Oktober 2021 mengaitkan Maslan dengan sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan.
Mengikut undang-undang, seseorang yang didakwa di mahkamah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

