KOTA KINABALU: Dua lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang mayatnya ditemukan di Kampung Numbak pada Khamis.
Perintah reman sehingga 24 Julai itu dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali terhadap kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan La Paula Abd Muis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kedua-dua suspek ditahan selepas mayat mangsa yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai ditemukan di Kampung Numbak.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras dan tumpul," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, manakala kedua-dua suspek direman untuk membantu melengkapkan siasatan.

