Sabah tingkat kapasiti tenaga boleh baharu menerusi SE-RAMP 2040
17:07 Jul 21, 2026  |  By SabahKini2
Sabah tingkat kapasiti tenaga boleh baharu menerusi SE-RAMP 2040

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi pelaksanaan beberapa projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan untuk mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2035 menerusi pelaksanaan inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi pelaksanaan beberapa projek tenaga boleh baharu yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata bagi tempoh sehingga 2030, tumpuan kerajaan negeri adalah meningkatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu secara berperingkat melalui penambahan kapasiti sumber solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim serta teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga (Energy Storage System) bagi memastikan kestabilan sistem grid dan mengurangkan isu gangguan bekalan akibat sifat tenaga boleh baharu yang tidak konsisten.

"Pada masa ini, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307 megawatt (MW), iaitu bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.

"Bagi meningkatkan kapasiti itu, beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan, antaranya Projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450MW, termasuk 200MW yang kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini hingga awal 2027, manakala tambahan 250MW sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (PBRS-Sook) mengenai hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Hajiji berkata selain projek LSS, kerajaan negeri turut merancang pelaksanaan Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam yang dijangka siap pada 2028 serta Projek Penjanaan Tenaga Angin berkapasiti 100MW yang disasarkan siap pada 2029.

Menurut beliau, Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW pula dijangka siap pada 2030.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek berkenaan secara berfasa dijangka meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu Sabah kepada sekitar 1,200MW menjelang 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.

"Bekalan elektrik Sabah akan terus kekal mencukupi, stabil, berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri," katanya.

Comment