Sabah percepat pengukuran tanah menerusi Program PANTAS
17:07 Jul 21, 2026  |  By SabahKini2
Sabah percepat pengukuran tanah menerusi Program PANTAS

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kejayaan itu dicapai menerusi penugasan 53 pasukan juruukur yang menjalankan kerja-kerja pengukuran di seluruh daerah di negeri ini.

KOTA KINABALU: Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur sebanyak 25,591 lot tanah melibatkan keluasan keseluruhan 33,891.181 hektar di seluruh Sabah bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kejayaan itu dicapai menerusi penugasan 53 pasukan juruukur yang menjalankan kerja-kerja pengukuran di seluruh daerah di negeri ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, Program PANTAS menerima peruntukan sebanyak RM83 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan RM10 juta.

"Bagi tahun ini pula, sebanyak RM1 juta disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur bagi pelaksanaan program berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Usukan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Beliau berkata, di daerah Kota Belud sahaja, empat pasukan juruukur ditugaskan di bawah Program PANTAS dan berjaya mengukur 5,347 lot tanah melibatkan keluasan 2,998.590 hektar.

Dalam perkembangan sama, Isnin memaklumkan sebanyak 26,808 permohonan tanah di seluruh Sabah masih dalam tindakan di peringkat pejabat tanah daerah setakat 30 Jun lalu.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sentiasa berusaha mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah serta pengeluaran geran kepada pemohon yang layak.

"Antara langkah yang dilaksanakan ialah memperkukuh pemantauan permohonan tanah di setiap peringkat pemprosesan, mempercepatkan tindakan pengukuran bagi permohonan yang telah diluluskan melalui program pengukuran tanah secara sistematik serta penggunaan peralatan ukur moden.

"Selain itu, penggunaan sistem pendigitalan jabatan turut diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan dan proses berkaitan pengeluaran geran tanah," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tempoh penyelesaian setiap permohonan bergantung kepada beberapa faktor termasuk status tanah yang dipohon, pertindihan permohonan, keperluan siasatan dan semakan teknikal.

Katanya, kekangan tenaga kerja bagi kerja-kerja pengukuran dan semakan ukur, selain pematuhan kepada Ordinan Tanah Sabah Bab 68 serta dasar kerajaan negeri yang berkuat kuasa, turut mempengaruhi tempoh penyelesaian.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil langkah mengisi 30 jawatan Penolong Juruukur Gred J5 yang kini sedang dalam proses pengiklanan.

"Pengisian jawatan ini dijangka dapat menambah kapasiti tenaga teknikal jabatan sekali gus mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh Sabah," katanya.

Comment