KOTA KINABALU: Polis Sabah merekodkan lebih 13,000 tangkapan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan sepanjang enam bulan pertama tahun ini, termasuk merampas dadah bernilai RM263.82 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata sebanyak 13,298 tangkapan direkodkan hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sepanjang Januari hingga Jun.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.
Menurutnya, JSJ melaksanakan 2,657 operasi menerusi Cawangan Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4), Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) serta Siasatan Khas (D9), yang membawa kepada 3,144 tangkapan.
Operasi berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk perjudian, pelacuran, curi kabel, pecah rumah, samun, ragut, pembunuhan, penyeludupan dan jenayah harta benda.
JSJN pula mencatatkan 8,735 tangkapan, melibatkan 5,935 warga tempatan dan 2,800 warga asing.
Jauteh berkata, seramai 38 suspek ditahan dalam kes rampasan dadah melebihi satu kilogram, terdiri daripada 32 lelaki dan enam wanita.
Katanya, dadah yang dirampas termasuk 3,560.93 kilogram syabu, 102.48 kilogram ketamin, 65.60 kilogram pil ekstasi, 7.6 kilogram ganja, 5.59 kilogram Eramin 5, 456.21 gram serbuk ekstasi serta 3.98 liter cecair vape dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM263.82 juta.
Beliau berkata, JSJN turut mencatat kadar pertuduhan sebanyak 89.91 peratus apabila 2,574 daripada 2,863 kertas siasatan berjaya didakwa di mahkamah, melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 80 peratus.
Selain itu, jabatan berkenaan merekodkan kadar penyelesaian kes sebanyak 83.52 peratus dengan 6,958 daripada 8,331 kertas siasatan berjaya diselesaikan, mengatasi sasaran KPI 65 peratus.
Sementara itu, JSJK menerima 8,595 laporan polis dari 1 Januari hingga 15 Julai lalu, yang membawa kepada pembukaan 2,018 kertas siasatan.
Sebanyak 960 serbuan dijalankan dengan 1,419 tangkapan direkodkan, manakala kerugian akibat jenayah komersial di Sabah dianggarkan berjumlah RM79.35 juta.
Daripada jumlah itu, 524 kes berjaya didakwa di mahkamah, selain pelbagai program kesedaran awam dipergiat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ancaman penipuan dalam talian.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membuka 9,746 kertas siasatan trafik sepanjang enam bulan pertama tahun ini, dengan 9,311 kes berjaya diselesaikan.
Jauteh berkata, sebanyak 453 Ops Mabuk dilaksanakan yang menyaksikan 2,878 saman dikeluarkan terhadap pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau berkata, JSPT turut menjalankan 411 operasi membabitkan kenderaan perdagangan, dengan 18,983 kenderaan diperiksa dan 1,493 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan seluruh warga PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan keberkesanan siasatan dan memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.

