Pertama di Malaysia, Sabah lulus undang-undang khusus pengurusan pusaka Islam
17:07 Jul 23, 2026  |  By SabahKini2
Pertama di Malaysia, Sabah lulus undang-undang khusus pengurusan pusaka Islam

Dalam perkembangan sama, DUN Sabah turut meluluskan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 yang bertujuan memperkukuhkan institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi kerangka perundangan yang lebih komprehensif, moden dan tersusun.

KOTA KINABALU: Sabah mencipta sejarah apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026, sekali gus menjadi undang-undang pertama di Malaysia yang khusus mengawal selia pengurusan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap EXCO Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penggubalan RUU berkenaan menyediakan kerangka perundangan yang menyeluruh berasaskan hukum syarak bagi memastikan pengurusan harta pusaka orang Islam dilaksanakan secara teratur dan mematuhi syariah.

Menurut beliau, pengurusan harta pusaka bukan sekadar membabitkan pembahagian harta, malah merupakan tuntutan fardu kifayah yang melibatkan hak si mati, hak waris serta tuntutan agama.

"RUU ini memastikan setiap fasa pengurusan daripada penentuan waris, pelunasan hutang, pelaksanaan wasiat sehingga pembahagian faraid dilaksanakan secara adil, saksama dan patuh syariah.

"Saya ingin menegaskan bahawa RUU ini mencipta sejarah tersendiri. Ini merupakan undang-undang pertama di Malaysia yang khusus berkaitan pengurusan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN Sabah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, RUU berkenaan turut memberi kejelasan dari sudut perundangan kepada golongan mualaf untuk menguruskan harta mereka lebih awal dengan menggalakkan perancangan harta semasa hidup melalui instrumen hibah, hadiah, wasiat atau kaedah lain yang dibenarkan syarak.

Dalam perkembangan sama, DUN Sabah turut meluluskan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 yang bertujuan memperkukuhkan institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi kerangka perundangan yang lebih komprehensif, moden dan tersusun.

Mohd Arifin berkata, pembaharuan itu perlu dilaksanakan memandangkan enakmen sedia ada telah berkuat kuasa sejak tahun 1992.

"Sistem kehakiman adat perlu diperkasakan bagi memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan identiti serta keunikan adat Anak Negeri Sabah," katanya.

Beliau menegaskan bahawa RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 bukan bertujuan mengubah, menyeragamkan atau menghapuskan adat, sebaliknya memperkemaskan institusi serta tatacara pentadbiran keadilan adat supaya pelaksanaannya lebih teratur, adil dan terus diyakini masyarakat.

Comment