Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan tindakan susulan sedang diambil berhubung dakwaan salah laku membabitkan Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas Dr. Yogendra a/l Panchalingam dakwaan serangan seksual dan buli di tempat kerja.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, JKNS berkata siasatan terperinci terhadap dakwaan berkenaan telah selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut kenyataan itu, laporan siasatan telah diterima dan syor-syor yang dikemukakan kini sedang dilaksanakan mengikut prosedur pentadbiran serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"JKNS tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya melibatkan dakwaan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja. Sebarang perlakuan sedemikian adalah bertentangan dengan nilai integriti, etika perkhidmatan awam serta boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja kesihatan," menurut kenyataan itu.
JKNS turut menegaskan komitmennya untuk memastikan semua petugas kesihatan dapat menjalankan tugas dalam persekitaran kerja yang selamat, saling menghormati dan kondusif.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan akan terus memperkukuh usaha memelihara integriti organisasi serta menjaga kebajikan seluruh warga kerjanya.
Pada masa sama, JKNS menghargai kerjasama semua pihak dengan memberi ruang kepada proses pentadbiran yang sedang dilaksanakan supaya dapat diselesaikan secara teratur, adil dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.

.jpg)