KOTA KINABALU: Tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal hasil komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kedaulatan negeri terus terpelihara.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, walaupun keadaan keselamatan berada pada tahap baik, semua pihak tidak boleh berasa selesa berikutan landskap ancaman yang semakin dinamik dan kompleks.
Beliau berkata Sabah masih berdepan pelbagai ancaman termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan orang, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PTI), pencerobohan nelayan asing, penyusupan elemen militan serta jenayah siber yang memerlukan kesiapsiagaan berterusan.
"Ancaman penculikan untuk wang tebusan (KFR) di Pantai Timur Sabah kini berada pada tahap rendah hasil tindakan bersepadu kerajaan dan pasukan keselamatan.
"Bagaimanapun, PDRM tidak pernah memandang ringan ancaman itu apabila rondaan darat dan maritim, operasi risikan serta pemantauan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) terus diperkukuh bagi mengesan sebarang ancaman lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, Khamis.
Jauteh berkata Polis Kontinjen Sabah akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan penyeludupan barang kawalan dan kontraban, kemasukan PTI, pencerobohan perairan negara serta penyusupan elemen yang boleh menggugat keselamatan negara.
Mengenai isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah, beliau berkata setakat ini tiada maklumat risikan yang menunjukkan wujud sebarang perancangan atau ancaman yang boleh menggugat keselamatan negeri.
"Namun, aktiviti risikan, pemantauan dan perkongsian maklumat akan terus diperkasakan," katanya.
Dalam pada itu, Jauteh berkata Polis Kontinjen Sabah turut mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi bagi mengesan saki-baki anggota serta rangkaian penyokong kumpulan Abu Sayyaf (ASG).
Menurutnya, kejayaan beberapa operasi sebelum ini membuktikan kesungguhan pasukan membanteras ancaman keganasan, selain diperkukuh menerusi kerjasama risikan, rondaan bersama dan latihan keselamatan tiga hala bersama agensi keselamatan Filipina dan Indonesia.
Beliau turut mengingatkan seluruh warga PDRM Sabah supaya terus memperkukuh integriti, meningkatkan kesiapsiagaan operasi, memperkasakan penyeliaan serta mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi bagi memastikan Sabah kekal aman, selamat dan sejahtera.

