KOTA KINABALU: Pusat Timbang Tara dan Mediasi Antarabangsa Borneo (BICAM) melancarkan Inisiatif Mediasi Pro Bono bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan penyelesaian pertikaian secara profesional khususnya kepada individu dan perusahaan kecil.
Inisiatif berkenaan dilancarkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun sempena program BICAM Global ADR Horizons 2026 di sini pada Jumaat.
Menurut Masidi, akses kepada keadilan tidak seharusnya bergantung kepada kemampuan kewangan, terutama apabila pertikaian yang berpanjangan boleh menjejaskan mata pencarian, perniagaan keluarga, kontraktor, pembekal serta masyarakat.
"Inisiatif Mediasi Pro Bono ini membawa perkhidmatan mediasi profesional lebih dekat kepada golongan yang mungkin tidak mempunyai akses kepadanya.
"Ia turut menyediakan platform yang berwibawa bagi menyelesaikan pertikaian secara baik, cekap dan bermaruah," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, inisiatif yang dibangunkan dengan kerjasama badan kehakiman serta mendapat sokongan komuniti perundangan dan mediasi itu akan melengkapkan proses kehakiman sedia ada.
Katanya, pendekatan tersebut mampu menggalakkan penyelesaian pertikaian pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan kos serta mengelakkan kes menjadi lebih rumit.
Masidi menjelaskan, mediasi merupakan kaedah penyelesaian pertikaian yang praktikal dan berperikemanusiaan kerana memberi ruang kepada semua pihak untuk didengar, di samping membantu mengekalkan hubungan serta menghasilkan penyelesaian yang mengambil kira aspek undang-undang, realiti komersial, nilai masyarakat dan pertimbangan munasabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para mediator dan pengamal undang-undang yang menyumbangkan masa serta kepakaran mereka secara pro bono, sambil menyifatkan usaha itu sebagai manifestasi tanggungjawab profesional dan komitmen terhadap kepentingan awam.
Dalam pada itu, Masidi berkata, perkembangan BICAM bukan sahaja penting kepada profesion perundangan, malah mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memberikan kepastian komersial serta memperkukuh daya saing ekonomi Sabah.
"Kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan BICAM, namun kebebasan institusi ini perlu terus dipelihara.
"Penyelesaian pertikaian yang berkesan bukan sekadar perkhidmatan perundangan, sebaliknya menjadi asas kepada keyakinan ekonomi, tadbir urus yang baik dan pembangunan mampan," katanya.
BICAM Global ADR Horizons 2026 menghimpunkan hakim, pengamal undang-undang, penimbang tara, mediator, pemimpin industri, ahli akademik dan rakan institusi bagi membincangkan pelbagai isu termasuk timbang tara antarabangsa, pelaburan, pertikaian pembinaan, kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di rantau ini.

