KPDN rampas lebih satu tan barang kawalan, lelaki ditahan di Pulau Banggi
16:07 Jul 24, 2026  |  By SabahKini2
KPDN rampas lebih satu tan barang kawalan, lelaki ditahan di Pulau Banggi

Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat hasil risikan di kawasan berhampiran sempadan negara.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyimpan lebih satu tan barang kawalan di sebuah premis tidak berlesen dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di Pulau Sibogoh, Pulau Banggi, Kudat, hari ini.

Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat hasil risikan di kawasan berhampiran sempadan negara.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim, berkata pemeriksaan menemukan 432 kilogram gula kasar, 408 kilogram minyak masak paket satu kilogram dan 210 kilogram tepung gandum disimpan tanpa lesen yang sah.

Beliau berkata, lelaki terbabit dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kesemua barang kawalan yang dirampas telah disita oleh KPDN untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam kenyataan.

Nazatul Shima berkata operasi itu adalah sebahagian daripada Ops Tiris 4.0 Tahun 2026 yang memfokuskan usaha membanteras penyelewengan barang kawalan di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi panas, terutama berhampiran perairan yang dipercayai digunakan untuk penyimpanan dan pengedaran barang kawalan secara haram.

Beliau menegaskan KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan terhadap individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan, termasuk cubaan menyalahgunakan subsidi kerajaan.

Katanya, operasi akan diteruskan secara lebih agresif di kawasan berisiko tinggi bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Kudat atas kerjasama dalam aspek keselamatan, logistik dan operasi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkannya kepada KPDN menerusi saluran aduan rasmi bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Comment