TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengisytiharkan bencana banjir di daerah itu tamat selepas semua kawasan yang terjejas pulih sepenuhnya.
Pengerusi JPBD Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata pengisytiharan itu berkuat kuasa jam 2 petang semalam berdasarkan laporan dan maklumat terkini daripada semua agensi pengurusan bencana.
Susulan itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau ditutup secara rasmi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Menurutnya, pemantauan berterusan oleh semua agensi mendapati keadaan banjir di daerah berkenaan telah kembali pulih sepenuhnya.
Sepanjang bencana itu, pelbagai agensi penyelamat dan pengurusan bencana bekerjasama menyelaras operasi pemindahan serta penyaluran bantuan bagi memastikan keselamatan mangsa terjejas.
Mohd Shoffian turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan dan semua pihak yang terlibat dalam operasi pengurusan banjir sehingga keadaan kembali normal.
Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku perubahan cuaca atau risiko bencana pada masa depan.

