Sabah perkukuh ekonomi digital menerusi kerjasama teknologi
16:07 Jul 28, 2026  |  By SabahKini2
Sabah perkukuh ekonomi digital menerusi kerjasama teknologi

Beliau berkata, keberkesanan sesuatu teknologi perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, memperkukuh tadbir urus, mempertingkat kualiti perkhidmatan serta meningkatkan daya tahan perniagaan.

KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi di Sabah perlu memberi impak yang boleh diukur melalui peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran tempatan dan pewujudan peluang pekerjaan bagi memastikan sumbangannya benar-benar memperkukuh ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata transformasi digital tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu menyelesaikan cabaran operasi sebenar serta mewujudkan nilai kepada organisasi dan masyarakat.

Beliau berkata, keberkesanan sesuatu teknologi perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, memperkukuh tadbir urus, mempertingkat kualiti perkhidmatan serta meningkatkan daya tahan perniagaan.

"Teknologi perlu menjadi pemacu kepada penyelesaian yang praktikal, bukannya sekadar mengikuti perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Masidi berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi mampu membantu syarikat beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos secara berkesan serta memperkukuh rantaian bekalan.

Menurutnya, teknologi berkenaan juga membolehkan organisasi membuat keputusan yang lebih tepat berasaskan data dan maklumat yang tersedia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan pendigitalan perlu diseimbangkan dengan aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan manusia.

"Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dan syarikat tempatan mampu menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam terhadap persekitaran operasi serta keperluan pelanggan di Sabah.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang mampu mengisi bidang teknikal, pengurusan dan inovasi bernilai tinggi.

"Ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran luar. Sabah perlu terus melahirkan tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaian tempatan yang berdaya saing.

"Kejayaan sesuatu kerjasama teknologi akhirnya perlu diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan serta mewujudkan nilai berkekalan kepada Sabah," katanya.

Comment