SANDAKAN: Seorang tekong dipercayai bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai selepas bot yang dipandunya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Muara Sungai Mangkalinau Besar di sini pada Selasa.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.05 batu nautika di timur muara sungai itu ketika rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
Menurutnya, sebaik pasukan operasi menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan, lelaki yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai bagi mengelakkan ditahan.
"Suspek turut meninggalkan bot bersama muatan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 17 jerican disyaki mengandungi 510 liter petrol serta sebuah enjin sangkut Yamaha berkuasa 40 kuasa kuda (HP).
"Nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, petrol dan enjin sangkut dianggarkan RM12,500," katanya.
Suhairy berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek berdasarkan maklumat serta dokumen yang ditinggalkan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa kebenaran.
Katanya, bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo.
"Semua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan suspek meninggalkan bot dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah dipercayai antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta mengakibatkan ketirisan barang kawalan.
"Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan jenayah maritim serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.

