Mahkamah hukum Shafie 5 minggu penjara kerana ulas kes Zara Qairina
18:07 Jul 29, 2026  |  By SabahKini2
Mahkamah hukum Shafie 5 minggu penjara kerana ulas kes Zara Qairina

Hakim Amir Shah Amir Hassan memutuskan Shafie bersalah mengikut Perintah 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijatuhi hukuman penjara lima minggu oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataannya berhubung kes Zara Qairina Mahathir.

Hakim Amir Shah Amir Hassan memutuskan Shafie bersalah mengikut Perintah 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.

Dalam penghakimannya, Amir Shah berkata kedudukan Shafie sebagai pemimpin politik berpengalaman menjadi faktor yang memburukkan kes kerana beliau sepatutnya memahami batasan undang-undang berkaitan ulasan terhadap kes yang masih dalam prosiding.

Beliau berkata, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri melarang ahlinya membahaskan perkara yang masih di hadapan mahkamah sekiranya boleh menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

Menurut hakim, kenyataan yang dibuat Shafie di hadapan orang awam berpotensi mempengaruhi persepsi masyarakat dan boleh menjejaskan perjalanan inkues serta pentadbiran keadilan.

Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira rekod bersih Shafie sebagai faktor mitigasi ketika menjatuhkan hukuman.

Amir Shah turut memutuskan bahawa denda maksimum RM300 yang diperuntukkan undang-undang tidak sesuai dikenakan memandangkan Shafie tidak mengemukakan permohonan maaf kepada mahkamah.

Beliau berkata, hukuman itu bukan sahaja bertujuan memberi pengajaran kepada Shafie, malah menjadi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika mengulas kes yang masih dalam pertimbangan mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Shafie untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Okt 2025, mahkamah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie selepas penjelasan yang dikemukakan melalui peguamnya didapati gagal memberikan alasan memuaskan terhadap notis tunjuk sebab yang dikeluarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.

Comment