KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 78 tahun yang dilaporkan hilang sejak petang Selasa ditemukan selamat dalam keadaan lemah selepas lebih 26 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Mangsa ditemui orang awam kira-kira 5.30 petang semalam di Kampung Payas-Payas, hanya sekitar 300 meter dari rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya selepas warga emas itu tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, berdasarkan maklumat anak mangsa, lelaki itu keluar dari rumah kira-kira 3 petang pada Selasa sebelum gagal dikesan.
“Mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan lemah sebelum diserahkan kepada pasukan penyelamat.
“Pasukan bomba kemudian membawa mangsa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan akhir turut dilakukan di lokasi bagi memastikan tiada sebarang bahaya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.38 petang.

